suria

Penangan Yuna & Jlo, bakal doktor terpaksa tolak 'show'

Kelincahan Ikhmal dan rakan pasukan mencuit hati netizen.

UMUM mengetahui bidang perubatan antara kursus paling mencabar kerana banyak masa difokuskan untuk menghafal dan mengenal pasti beribu-ribu istilah.

Namun tanggapan pelajar perubatan ‘nerd’ sudah tidak relevan pada hari ini.

Ianya dibuktikan apabila sekumpulan pelajar Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Sungai Buloh yang tampil hebat di pentas tarian.

Gerak tarian 10 peserta berpakaian sedondon yang penuh bertenaga dan menghiburkan membolehkan mereka dinobatkan juara persembahan Aerodance dalam pertandingan Sukan InterVarsiti Perubatan (MIVG) 2018 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Lebih manis kumpulan tersebut berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu.

Muhammad Ikhmal Azzarin Mohd Asri, 21, yang bertindak sebagai koreografer kumpulan terbabit ketika dihubungi mStar Online berkata kejayaan tersebut hasil usaha keras dan pengorbanan setiap ahlinya.

“Alhamdulillah usaha keras kami selama lebih sebulan berbaloi apabila kami berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi tahun lalu.

“Kami tak adalah buat latihan setiap hari… seminggu empat kali sahaja. Biasanya latihan kami akan buat malam. 

“Sebenarnya malam sepatutnya waktu untuk belajar tapi kami tukar waktu belajar ke sebelah petang ketika orang lain sedang beriadah.

“Jadi waktu untuk belajar itu tidak terjejas. Petang kami belajar dan malam pula kami berlatih menari,” katanya.

Ikhmal dan rakan pasukan berlatih empat hari seminggu pada sebelah malam.

Menurut Muhammad Ikhmal atau lebih mesra disapa Ikhmal, bagi memastikan pingat emas dalam genggaman, dia melakukan sesi uji bakat untuk mencari ahli kumpulannya.

“Setiap tahun saya buat audition untuk tentukan ahli kumpulan. Saya akan pilih mereka yang layak sahaja.

“Sebab itu ahli tak sama setiap tahun. Ada yang dikekalkan tapi kalau ada yang lebih bagus masa audition, saya akan pilih mereka.

“Tak sangka sambutan masa audition tu amat luar biasa. Dalam 30 hingga 40 orang datang tapi hanya yang betul-betul layak terpilih,” katanya.

Ditanya mengenai koreografi lagu On The Floor nyanyian, Jennifer Lopez (Jlo), Ikhmal berkata, idea untuk gerak tari itu lahir selepas menonton beberapa tarian melalui YouTube.

“Saya banyak belajar menari dari YouTube. Jadi tak susah untuk saya buat gerakan-gerakan tersebut.

“Lagipun saya memang minat menari sejak di Tingkatan 3 lagi, cuma masa tu saya banyak terlibat dalam tarian tradisional.  Bila dah masuk degree baru mula berjinak-jinak dengan Aerodance (tarian moden)

“Jadi saya dah biasa (menari) dan idea (gerakan) itu datang dengan sendiri. Saya hanya perlu sesuaikan setiap gerakan dengan lagu yang kami pilih,” katanya.

Fakulti Perubatan UiTM Kampus Sungai Buloh dinobat selaku juara.

Pemuda berasal dari Teluk Intan, Perak ini juga tidak menduga video yang dimuat naiknya di Twitter untuk suka-suka mendapat perhatian netizen.

“Terkejut tengok (video) jadi viral sebab video sebelum ini tak pernah viral… naik pun dalam 5,000 views dekat Twitter.

“Video ni mula jadi perhatian selepas penyanyi Yuna retweet (video) siap tag JLO. Tak sangka dia pun suka tengok video tersebut.

“Terima kasih juga di atas segala komen supportive netizen. Insya-Allah kami akan cuba pertahankan kejuaraan untuk tahun depan,” katanya.

Selepas video tarian itu tular, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan itu berkata, dia turut menerima banyak mesej yang mengundang mereka untuk membuat persembahan.

“Ramai yang mesej tanya nak nombor telefon sebab nak minta kita buat persembahan pada majlis tertentu.

“Saya minta maaf kami tak dapat nak terima sebab perlu fokus kepada peperiksaan akhir tahun. Lagipun banyak masa sudah dikorbankan untuk pertandingan Aerodance tempoh hari,” katanya.

Video tarian Aerodance yang dimuatnaik Ikhmal di Twitter pada 11 Disember lalu diulang kicau lebih 30,000 kali dan mendapat 31,800 tanda suka.

Sehingga hari ini, Ia turut ditonton pelayar Twitter hampir 500,000 kali.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Yuna, JLo, Jennifer Lopez

Artikel Lain