suria

Kejam! Anak pijak kucing sampai mati, ibu pula kuis dengan kaki

Seorang kanak-kanak bertindak memijak seekor kucing, menerusi video yang tular di media sosial sejak Sabtu. Foto paparan skrin video di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia

KEJAM! Begitulah yang boleh digambarkan mengenai insiden seekor anak kucing yang mati dipijak seorang kanak-kanak, menerusi video yang tular di media sosial.

Namun yang membangkitkan kemarahan netizen adalah perlakuan itu hanya dipandang ringan oleh ibu kanak-kanak itu yang turut menyaksikan kejadian tersebut.

Menerusi video berdurasi seminit, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pangsapuri, ibu kanak-kanak terbabit hanya menguis anak kucing yang sedang nyawa-nyawa ikan itu menggunakan kakinya tanpa belas kasihan untuk menyelamatkannya.

Tindakan dua beranak itu turut dibangkitkan dengan penuh kesal oleh Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika pada Ahad.

Bercakap kepada mStar Online, maklumat mengenai video itu diterima beberapa hari lalu sebelum ia tular di media sosial pada Sabtu.

“Saya kesal dengan tindakan kanak-kanak yang mungkin berusia di bawah 12 tahun itu, tetapi pada usia sebegitu, saya pasti dia boleh membezakan antara baik dan buruk.

“Tapi melihat keadaan ibu pelaku yang hanya membiarkan kucing itu selepas dipijak bagaikan tiada perasaan sehingga hampir mati, mungkin itulah yang dapat digambarkan pemikiran dan didikan terhadap anaknya,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ibu kanak-kanak itu hanya menguiskan badan kucing tersebut menggunakan kakinya.

Menurut persatuan itu, anak kucing mati itu akibat patah tengkuk berlaku di hadapan lif di sebuah blok di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, di Puchong, 27 November lalu.

Berdasarkan maklumat sumber, pelaku dan ibunya merupakan penduduk yang mendiami kawasan yang sama tetapi berlainan blok.

Arie berkata, beberapa penduduk prihatin dengan nasib kucing malang tersebut lalu membawanya ke klinik veterinar untuk rawatan namun malangnya doktor mengesahkan bahawa kucing itu telah pun mati.

Namun apa yang lebih dikesalkan, kata Arie, teguran penduduk kepada ibu kanak-kanak tersebut mengenai kelakuan kejam itu telah dibalas dengan maki hamun kepada penduduk yang mengadu. 

“Sudahlah tak tolong selamatkan kucing itu, penduduk dimarahi pula. Si ibu nampaknya membiarkan kelakuan kejam yang dibuat anaknya, tanpa belas kasihan. 

“Sebagai ibu bapa, mereka sepatutnya menjadi contoh yang baik dan memberi pengajaran yang berguna kepada anak-anak dengan bersikap bertimbang rasa dan penyayang,” katanya.

Dua beranak itu hanya berlalu pergi membiarkan kucing yang sedang nyawa nyawa ikan akibat dipijak.

Tambah Arie, pihaknya telah menghantar laporan berhubung kejadian yang tular itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Ahad.

“Kita berharap pihak jabatan dapat menyiasat perkara ini dan mendapatkan maklumat berkaitan daripada persatuan kerana kes penganiyaan terhadap haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Tambah Arie, tahun ini saja menyaksikan lebih 300 aduan membabitkan penganiayaan dan pengabaian terhadap haiwan, yang diterima persatuan itu daripada orang ramai.

Ia merupakan kejadian keganasan terhadap kucing yang terbaru, susulan insiden sekumpulan lelaki bertindak memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Gombak, Selangor pada September lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain