BAGI menghargai sumbangan bakti pasukan perubatan negara, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke perjawatan tetap pada tahun hadapan.Menerusi Belanjawan Madani 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan terus ditawarkan ke jawatan tetap sebagai pegawai perubatan. "Sejak 2023, kerajaan Madani telah melantik secara tetap lebih 15,000 doktor kontrak termasuk 4,000 pada tahun ini," ujarnya menerusi pembentangan Belanjawan Madani 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.Tambah Anwar, sebagai tanda penghargaan kepada 47,000 anggota paramedik dan jururawat yang memikul tanggungjawab besar di lapangan, kadar insentif pos basik akan dipertingkatkan.Jelas beliau, jumlah tersebut dinaikkan kepada RM200 sebulan berbanding RM100 sebelum ini."Kita berduka cita atas tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang meragut nyawa petugas barisan hadapan. "Kerajaan bersetuju menaikkan bayaran insentif perkhidmatan kesihatan udara daripada RM30 kepada RM100," tambah beliau.Mengulas tentang tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan pula, Perdana Menteri berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain.Susulan itu katanya, skop kerjasama akan diperluas merangkumi penggunaan fasiliti kesihatan swasta, termasuk dewan bedah oleh sektor awam. "Aturan sessional kepada pakar kerajaan yang bersara dan pakar swasta yang lebih anjal dengan tempoh maksimum ditingkatkan."Skop program diperluas meliputi Expanded Newborn Screening, Prenatal Genetic Testing dan rehabilitasi," ujarnya sambil menyatakan kerajaan akan meluncurkan Pelan Medi Asas mulai 2027.Jelasnya, melalui pelan tersebut, bayaran hospital akan mengikut jenis diagnosis dan rawatan supaya kos lebih terkawal serta mudah dijangka.Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah 55 tahun dibenarkan membayar premium Medi Asas melalui Akaun Sejahtera.