MISTERI ketukan pintu yang sebelum ini menggemparkan penduduk di Alor Setar, Kedah, kini didakwa 'beralih' ke Perlis pula selepas seorang wanita berkongsi rakaman kamera litar tertutup CCTV di rumahnya.Menurut wanita dikenali sebagai Salbiyah Suhaimi, kejadian mistik itu berlaku di Kampung Bunga Mas, Simpang Empat kira-kira pukul 1.19 pagi Sabtu. Katanya, pada awalnya dia tidak menyedari bunyi berkenaan, namun selepas melihat semula rakaman CCTV, dia mendapati bunyi ketukan itu sememangnya jelas kedengaran.Lebih mencetuskan tanda tanya, lampu pengesan pergerakan (motion sensor) di kawasan rumahnya turut menyala secara automatik sebelum bunyi ketukan kedengaran.“Apabila tengok CCTV baru perasan memang dengar bunyi ketukan tu. Siap pakej lampu menyala.“Lampu tu menyala apabila kesan benda lalu,” katanya menerusi perkongsian di Threads [Tonton Video].ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ketukan misteri hantui penduduk Langgar... CCTV hanya rakam bunyi tanpa kelibat!Dalam rakaman tersebut, lampu berkenaan dilihat menyala secara tiba-tiba sebelum bunyi ketukan kedengaran agak kuat.Perkongsian itu menarik perhatian netizen khususnya penduduk di kawasan sekitar yang mengesahkan turut menjadi mangsa ketukan misteri tersebut."Hari tu balik rumah tok pun dia ada cerita rumah kawasan situ pun kena ketuk pukul 1 hingga 3 pagi. Apa-apa pun kunci semua pintu dan tingkap."Rumah sewa kami kat Taman Dato Jaafar pun kena. Penyewa beritahu kena pukul 4 pagi. Dia hantar video, memang kuat bunyi ketuk," komen warga maya.mStar sebelum ini melaporkan bunyi ketukan kuat pada pintu dan tingkap rumah tanpa sebarang kelibat manusia mencetuskan tanda tanya dan rasa cemas dalam kalangan penduduk di sekitar Langgar di Alor Setar, Kedah.Kejadian misteri yang mula menghantui warga setempat sejak 16 Ogos lalu itu dilaporkan membabitkan beberapa kawasan perumahan antaranya Taman Vistana, Taman Amira, Taman Awana, Taman Lelasari sehingga ke Pekan Langgar.