Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika ditegur individu tidak dikenali ketika berurusan di bank. -Gambar hiasan AI
ORANG ramai khususnya pengguna mesin juruwang automatik (ATM) dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan taktik meraih simpati individu yang berpura-pura meminta bantuan mengeluarkan wang tunai.Nasihat itu disuarakan seorang wanita yang mendakwa sudah empat kali terserempak dengan lelaki warga emas dipercayai menggunakan 'skrip' sama di sekitar Muar, Johor. Menurut wanita berkenaan, kali pertama dia membantu lelaki itu adalah pada 2022 selepas warga emas terbabit mendakwa anaknya ada memasukkan wang sebanyak RM100 ke dalam akaun.Bagaimanapun, ketika dibantu membuat pengeluaran, dia mendapati baki akaun lelaki itu hanya lebih kurang RM1.“Disebabkan kesian, saya sedekahkan RM50. Lepas itu kali kedua dan ketiga pun saya tolong cucukkan kad.“Kali ketiga, saya tunggu dalam kereta sebab nak perhatikan. Tak lama kemudian, dia minta orang lain pula cucukkan kad,” katanya.Dedah wanita itu lagi, kejadian sama berulang pagi Sabtu apabila dia sekali lagi diminta membantu lelaki terbabit yang cuba menggunakan kad Maybank di mesin ATM CIMB.“Baki ada RM1.59. Sebelum ini dia naik basikal, sekarang dah naik motosikal. Entahlah, saja nak tanya kalau ada yang pernah tolong pakcik ini cucukkan kad bank,” katanya di Threads.Perkongsian itu turut mendapat perhatian netizen yang turut mendakwa pernah berdepan situasi serupa di kawasan berkenaan.Malah seorang pengguna media sosial yang bekerja di kawasan berkenaan mendakwa pernah bertemu tiga individu berbeza menggunakan modus operandi sama, termasuk seorang wanita Melayu, wanita Cina, dan lelaki warga emas terbabit.“Dia sebenarnya nak minta duit kita. Dalam bank mereka memang tiada duit,” dakwanya.Seorang lagi netizen mendedahkan ibu mertuanya juga menjadi sasaran minggu lalu apabila diminta membantu mengeluarkan RM100, sebelum terkejut melihat baki akaun warga emas itu hanya berbaki belasan ringgit.Sementara itu, seorang wanita lain berkongsi taktiknya 'mengenakan' balik warga emas terbabit dengan menjerit menyebut baki akaun secara lantang supaya didengari orang ramai."Saya cakap kuat-kuat baki pakcik tiada, betul ke anak pakcik masukkan? Baik telefon dia. Sengaja buat macam tu nak orang lain dengar."Pakcik tu terus gelabah. Dia ucap terima kasih dan terus gerak. Bukan nak malukan dia, tapi jika niat dia tak baik harap orang lain tak jadi mangsa," katanya.