Datuk Seri Anwar ketika menghadiri Program Madani Kita di Tambun, Ipoh pada Ahad. -RONNIE CHIN/The Star
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan mungkin menambah peruntukan bagi program bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sekiranya keadaan ekonomi negara mengizinkan.Anwar berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Sabtu bagi menliti keupayaan kerajaan menyalurkan bantuan tambahan kepada rakyat. “Saya sudah panggil Perbendaharaan untuk berbincang sama ada kita boleh tambah lagi Sara," katanya ketika berucap pada program Madani Kita anjuran Kor Perkhidmatan Sukarela (Rela) di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun, pada Ahad.Menurut Anwar, kerajaan memahami tekanan dihadapi rakyat walaupun beberapa langkah seperti pengurangan harga bahan api telah membantu meringankan beban kos sara hidup.ARTIKEL BERKAITAN: Wakil rakyat DAP ‘petik’ isu mansuh PTPTN... Anwar janji ajak MB Johor, menteri BN bincangNamun katanya, kenaikan harga barangan masih menjadi cabaran yang perlu ditangani.“Sebagai contoh, kita mengimport bawang dari India kerana pengeluaran tempatan tidak mencukupi. Apabila berlaku masalah bekalan, harga akan meningkat. Perkara seperti ini perlu kita atasi,” katanya.Anwar berkata, kerajaan akan terus mencari kaedah terbaik untuk membantu rakyat, termasuk memperluaskan inisiatif Jualan Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos kehidupan harian.“Baru-baru ini saya umumkan kemungkinan untuk menambah lagi inisiatif Jualan Rahmah, termasuk di Perak, bagi membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.Beliau turut memaklumkan semua peruntukan akan dikaji semula ketika penyediaan Belanjawan akan datang, dengan keutamaan diberikan kepada usaha yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat.Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta tahun ini bagi membantu kebajikan anggota Rela.Katanya, bantuan itu bukan diberikan kerana terdapat permohonan rasmi daripada anggota Rela, sebaliknya hasil perbincangan beliau bersama Menteri Dalam Negeri tahun lalu mengenai keperluan menjaga kebajikan pasukan berkenaan. -The Star