SUAMI kepada peniaga makanan yang ditemukan mati berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan, mendedahkan gelang emas yang dipakai Norshamira Zainal, adalah hadiah yang diberikannya sebagai tanda kasih sayang kepada wanita tersebut.
"Dia sentiasa pakai kerana amat menghargainya," ujar Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, sambil menambah, gelang emas tersebut dibelinya pada 2022.
Memetik Kosmo, Muhammad Afiq berkata, dia membeli gelang tersebut dengan harga belasan ribu ringgit ketika itu.
"Mungkin sekarang harganya sudah naik berdasarkan harga emas semasa.
"Saya mahu simpan gelang itu sebagai kenangan dan tak akan buat apa-apa (jual atau serahkan kepada sesiapa)," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh peniaga COD: Suspek dikenal pasti
Menurutnya lagi, antara barangan berharga milik isterinya yang hilang adalah gelang tangan, cincin dan subang selain telefon bimbit serta dompet.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek yang membunuh Norshamira menggadaikan gelang emas milik wanita tersebut di Terengganu, dengan nilai anggaran RM30,000.
Suspek lelaki berusia 53 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Muhammad Afiq menambah, anaknya yang berusia lima tahun masih belum mengerti mengenai 'kehilangan' ibunya dan bermain dengan sepupu yang datang menziarahi keluarganya di Felda Keratong 9.
"Anak saya okay sahaja, buat masa ini dia belum cari (arwah) sebab ramai sepupu yang sebaya dengannya dan dia asyik bermain dengan mereka," katanya lagi.