MAHKAMAH Sesyen menggugurkan bantahan awal dibangkitkan oleh ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan dengan pertuduhan pengabaian kanak-kanak autisme dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal. Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan pertuduhan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf adalah tidak cacat dan mengikut peruntukan undang-undang. "Tiada elemen dalam pertuduhan yang menunjukkan tertuduh dinafikan peluang untuk pembelaan sewajarnya. "Demikian itu, bantahan yang difailkan oleh defendan digugurkan, perbicaraan akan diteruskan pukul 2 petang pada Isnin," katanya. Pada 12 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka berumur 6 tahun, Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal. Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada hari berikutnya. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. -The Star