suria

Ibu bapa Zayn Rayyan beremosi, sebak tengok foto bedah siasat anak

Ibu bapa Zayn Rayyan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Isnin.

HARI pertama perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan menyaksikan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme itu menitiskan air mata di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin.

Ismanira Abdul Manaf dilihat cuba menenangkan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari di kandang tertuduh apabila seorang jurugambar memaparkan 94 foto bedah siasat Zayn Rayyan.

Lebih menambah duka pasangan suami isteri itu apabila Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin, 45, yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengemukakan 142 foto Zayn Rayyan dua hari selepas ditemukan maut.

Antara gambar yang dikemukakan adalah mayat Zayn Rayyan masih memakai lampin pakai buang, kecederaan pada bahagian lengan, kaki, telinga dan muka.

Turut didedahkan adalah gambar di bilik stor, Blok R Apartment Idaman, barangan simpanan, bahagian dalam dan luar pintu rumah mangsa serta tangga.

Mahkamah menangguhkan sementara prosiding apabila pasangan itu meminta izin untuk ke tandas.

Kes Zayn Rayyan menggemparkan seluruh negara.

Seterusnya, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian bertanya tentang maklumat terperinci mengenai gambar itu.

Menurut keterangan Mohamad Hirwan, dia diarahkan mengambil gambar bedah siasat oleh pegawai penyiasat pada 7 Disember 2023.

“Gambar nombor 19 adalah foto mangsa tanpa baju dan seluar, ketika itu dia hanya memakai lampin pakai buang,” kata saksi itu.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung esok.

Pada 12 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka berumur 6 tahun, Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada hari berikutnya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan mati di dalam sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Sebelum itu mangsa dilaporkan hilang, mayatnya kemudian ditemukan 200 meter daripada kawasan perumahannya.

Artikel Lain