suria

Kenal sejam terus buat hubungan seks! Kanak-kanak terpedaya ayat-ayat manis hingga terlanjur

Jenayah seksual kanak-kanak di negara ini membimbangkan. -Gambar hiasan

SIAPA sangka seorang kanak-kanak perempuan mudah terpedaya untuk melakukan hubungan seks selepas baru berkenalan selama sejam dengan lelaki secara dalam talian.

Perkara itu dedahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.

Menurut beliau, mangsa mudah tertarik dengan ayat-ayat manis yang mengundang atau menyebabkan kanak-kanak itu terpedaya dengan pemangsa sehingga berlaku jenayah seksual.

"Kebiasaannya membina kepercayaan itu cepat, dengan memberikan janji manis dan keseronokan sehingga jenayah seksual itu mudah berlaku," katanya.

Siti Kamsiah berkata demikian ketika ditemui pemberita di Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Dewan D’ Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam, pada Rabu.

Tambah Siti Kamsiah, alat telekomunikasi dan internet memudahkan perkara tersebut berlaku.

"Mereka chat online dan rancang untuk keluar. Malah mereka menggunakan khidmat (kenderaan) e-hailing untuk memudahkan perjumpaan mereka," katanya sambil menambah mangsa juga berkongsi lokasi rumah mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa media sosial begitu popular dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka mudah untuk melayari kandungan itu dan boleh menarik perhatian ramai.

"Kita tidak boleh mengelak hakikat bahawa mendidik anak-anak bermula dari rumah, dan ibu bapa juga mesti mengajar anak-anak mereka tentang kawalan diri dan risiko di sekeliling mereka dan cara menilai mereka. Jenayah kini bermula dari keselesaan rumah anda sendiri," katanya.

Ketika ditanya, Siti Kamsiah berkata, masalah kewangan dan kurang didikan juga merupakan faktor yang membawa kepada jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Berdasarkan statistik, kes-kes ini berlaku dalam kalangan kumpulan B40. Jika dilihat secara keseluruhannya, situasi kewangan yang tidak stabil, pengangguran dan tahap pendidikan yang rendah adalah antara faktor yang dihadapi oleh mangsa ini," tambahnya sambil menambah persekitaran yang tidak kondusif.di rumah dan ibu bapa yang berpisah juga menjadi faktor.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah mendedahkan Selangor merupakan negeri yang paling tinggi mencatatkan kes jenayah seksual.

"Faktor yang membawa kepada ini termasuk penduduk, kedudukan negeri dengan jirannya, serta akses internet dan kemudahan lain," katanya sambil menambah Johor mencatatkan jumlah kes jenayah seksual kedua tertinggi. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain