suria

Berita baik! Simpan SSPN kekal istimewa, pendeposit terus nikmati pelepasan cukai tahun ini

Pelepasan bagi cukai pendapatan ke atas simpanan Simpan SSPN sehingga RM8,000 dilanjutkan pada tahun ini.

BERITA baik buat ibu bapa yang merupakan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) apabila pelepasan cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 dilanjutkan pada tahun ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapatkan pelepasan taksiran cukai dengan jumlah sama setahun untuk satu pasangan.

Manakala bagi ibu bapa yang membuat taksiran cukai secara berasingan, layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun setiap seorang.

Menurutnya, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan itu merupakan insentif yang istimewa kepada pendeposit kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat Malaysia untuk membuat simpanan dalam Simpan SSPN agar berpeluang menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2024.

“Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai Simpan SSPN, Norliza berkata, sehingga 31 Mac tahun ini, deposit yang diterima berjumlah RM17.75 bilion dengan 6.32 juta akaun direkodkan.

“Ini menunjukkan Simpan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi,” ujarnya.

Norliza berkata, sehingga 31 Mac tahun ini, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM17.75 bilion dengan 6.32 juta akaun direkodkan.

Norliza berkata, sehingga 31 Mac tahun ini, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM17.75 bilion dengan 6.32 juta akaun direkodkan.

Menurut Norliza, PTPTN komited dan konsisten dalam menggalakkan ibu bapa untuk membuat perancangan kewangan awal bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Mengulas lanjut, katanya lagi, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.

“Antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” katanya.

Selain itu, Norliza berkata, PTPTN turut mengadakan Cabutan Siri WOW! Kasih 2024 yang menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang.

“Hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah saguhati berjumlah RM500 untuk 180 pemenang.

“Kempen ini terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus bermula pada 1 Mei 2024 hingga 30 Jun 2024,” katanya lagi.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain