suria

Rakyat Malaysia berhak boikot dan protes - Duta Besar AS

Duta Besar AS di Malaysia, Edgard D Kagan pada sesi bertemu media di kediaman rasminya di Kuala Lumpur. -Foto The Star

RAKYAT Malaysia mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka secara aman termasuk melalui boikot dan tindakan protes terhadap produk antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel serta beberapa syarikat rantaian berkaitan Amerika Syarikat (AS) di negara ini.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan bagaimanapun berkata, kempen boikot yang berterusan hanya akan menjejaskan pekerja tempatan di negara ini.

"Kita semua telah melihat bahaya retorik dan betapa cepatnya ia boleh melampaui kepada tindakan berbahaya.

"Saya fikir ia adalah malang kerana akhirnya, seperti kebanyakan anda tahu, dua syarikat utama yang diboikot itu, satu dimiliki oleh rakyat Malaysia dan satu lagi oleh Saudi.

"Mereka yang menderita akibatnya (boikot) adalah pekerja Malaysia.

"Saya fikir mungkin ada kepuasan simbolik dalam melakukan itu, tetapi akhirnya orang yang benar-benar terjejas bukanlah Israel, dan bukan Amerika Syarikat," ujarnya ketika bercakap pada sidang media bersama wakil media terpilih di kediamannya di Kuala Lumpur pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai selempang Palestin pun orang tak masuk... Lelaki simpati tengok staf termenung, restoran makanan segera kosong

Bagaimanapun, Kagan tidak mendedahkan sebarang jenama atau nama syarikat.

Krisis kemanusiaan yang semakin memuncak di Palestin, khususnya di Gaza, bermula dari 7 Oktober lalu telah mencetuskan gelombang boikot termasuk di Malaysia terhadap pelbagai barangan Israel dan jenama antarabangsa yang didakwa mempunyai kaitan dengan Zionis.

"Kami amat menyokong hak untuk membuat bantahan secara aman, namun sudah tentu kami tidak ingin menjadi saluran untuk mereka luahkan perasaan terhadap Israel kerana kami bukan Israel.

"Bagaimanapun, kami juga faham bahawa itulah hakikat yang perlu kami terima dalam keadaan sekarang," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama kerajaan Malaysia dalam memastikan keselamatan kemudahan dan kakitangan kedutaan semasa protes.

Beliau juga menyatakan bahawa AS menghargai perasaan rakyat Malaysia terhadap situasi di Gaza dan komited untuk mengambil tindakan yang bermakna dalam isu tersebut, termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan.

"Pertama, kami komited memberikan bantuan kepada Gaza untuk mencuba dan memastikan kami mengelakkan malapetaka kemanusiaan besar di luar apa yang telah berlaku.

"Kami ingin melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan penduduk Gaza mempunyai cukup makanan dan mampu bertahan.

"Kami juga percaya bahawa adalah sangat penting untuk mengadakan gencatan senjata dengan segera dan berterusan termasuk pembebasan tebusan.

"Terdapat tindakan yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak yang akan membolehkan gencatan senjata dilaksanakan," katanya lagi. -THESTAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain