suria

Ibu dan dua anak ditemukan mati tergantung pada kipas, tulis nota ada masalah rumah tangga

Mayat seorang ibu dan dua anaknya ditemukan tergantung pada kipas. -Gambar hiasan

SEORANG wanita bersama dua anaknya ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng, Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul 9.25 malam Isnin, Balai Polis Lenggeng menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Lelaki itu memaklumkan terdapat seorang wanita dan dua kanak-kanak ditemukan mati di sebuah taman perumahan.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita berumur 34 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga serta enam tahun dijumpai mati tergantung di kipas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abdul Malik berkata, turut ditemukan di tempat kejadian adalah nota tulisan si mati yang menyatakan dia berdepan masalah rumah tangga.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai membuat tangkapan ke atas suami si mati kira-kira pukul 1 pagi Selasa.

"Permohonan reman dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi Selasa dan reman dibenarkan selama empat hari sehingga 23 Februari depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Abdul Malik, ketiga-tiga mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain