suria

Rangka manusia: Kakak harap bukan Bella... Ibu berat hati, mahu keadilan sewajarnya

Lokasi penemuan rangka manusia di rumah sewa terbiar.

PENEMUAN rangka manusia pada Jumaat mencetuskan kebimbangan buat keluarga kepada Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella, 32, yang hilang sejak 14 Disember lalu, namun sehingga kini belum ditemui.

"Saya harap rangka itu bukan Bella,” kata Norhisham Samsusah, 36, yang merupakan kakak Bella.

Pada petang Jumaat, polis menemui rangka dalam keadaan tidak sempurna di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat, Johor susulan penahanan seorang suspek utama.

Norhisham berkata, hatinya agak berat untuk menidakkan penemuan rangka itu memandangkan suspek yang menunjukkan lokasi adalah individu paling dekat dengan Bella.

“Kalau boleh itu (rangka) bukan Bella, saya harap sangat Allah makbul doa kami,” katanya ketika ditemui.

Dia ditemani ibunya, Noraini Salleh, 55, serta beberapa ahli keluarga lain tiba di lokasi pada pukul 8 malam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penemuan rangka itu.

Noraini berkata, seandainya rangka itu milik anaknya, dia reda walaupun terlalu berat untuk menerima kenyataan.

Namun, katanya, mereka terbabit dalam kes ini perlu mendapat hukuman setimpal demi keadilan untuk keluarganya.

“Saya boleh maafkan pelaku tapi dia tidak boleh terlepas hukuman. Kami harap jika benar rangka itu milik Bella, kami perlu mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pukul 2 petang, pada Jumaat selepas dipandu salah seorang suspek.

Menurutnya, sebelum ini tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia.

"Siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit. Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa hanya dapat dilakukan kira-kira dua minggu lagi.

"Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka itu milik wanita terbabit,” katanya pada sidang media di lokasi pada malam Jumaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain