suria

Tukang urut berimej wanita jadi tumpuan di mahkamah, tak mengaku cabul 2 beradik

Suspek tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan berpakaian seperti wanita.

SEORANG tukang urut lelaki yang didakwa mencabul remaja lelaki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Tertuduh, Hamid Khan Samoon, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat.

Terdahulu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang dilaporkan hilang pada awal bulan ini mendakwa dirinya dikurung dalam sebuah bilik hotel bersama adiknya di Jalan Sultan, Kuala lumpur oleh individu tidak dikenali.

Sepanjang tempoh dikurung itu, remaja tersebut mendakwa dirinya menjadi mangsa amang seksual sebelum berjaya melarikan diri pada 9 Januari lalu.

Dalam pada itu, Hamid dilihat tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan memakai pakaian seperti wanita iaitu seluar ketat bercorak, baju blaus dan membawa tas tangan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kakak yang sudah tiada suami.

"Saya menanggung kakak saya, anak dia (kakak) sudah meninggal dunia, kakak saya mengharapkan saya sangat-sangat," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Menjengah ke ruangan komen, imej dan karektor tertuduh yang dilihat seperti seorang wanita menjadi perhatian netizen.

"Nampak lembut je dia melangkah, betul ke dia lelaki tu? Berjalan pun macam 'kepit'.

"Tak sangka seseorang yang berpakaian kewanitaan macam ni mampu untuk buat sesuatu yang sebegitu keji, harap kebenaran akan terungkai," kata sebahagian warga maya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang lelaki direman selama tujuh hari selepas dipercayai terbabit dalam kes dua beradik hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Hulu Selangor, sejak 1 Januari lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain