suria

Tarif air pengguna domestik naik 22 sen... SPAN kata kenaikan masih rendah

Tarif air untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan naik mulai Februari.

KADAR tarif air akan dinaikkan kepada 22 sen bagi setiap meter padu mulai 1 Februari untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menerusi kenyataan pada Rabu, SPAN menjelaskan pelarasan tarif baharu itu dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Tambah SPAN, kenaikan itu masih rendah dan tidak mampu menampung kos penyediaan air iaitu RM1.75 semeter padu berdasarkan rekod 2022.

"Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang, sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022," kata SPAN.

SPAN juga menyeru pengguna supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah, termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air.

Selain itu orang ramai membaiki paip yang bocor di premis masing-masing serta memasang sistem penuaian air hujan dan menggunakan air kitar semula sebagai sumber alternatif untuk tujuan bukan minuman.

Semakan mStar di media sosial mendapati segelintir netizen meninggalkan komen kurang bersetuju dengan kenaikan tarif itu.

"Terbaik. Ini yang kita nak. Naikkan semua.

"Yaaa. Naik semua. Apa nak jadi?" tulis beberapa netizen di Facebook.

Namun, ada netizen yang berlapang dada dengan kenaikan itu dan menyifatkan ia sebagai satu perkara yang wajar demi memastikan kualiti bekalan air terus dapat ditingkatkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain