suria

Pengawal keselamatan rogol dua anak tiri, ambil kesempatan ketika isteri keluar urus gerai burger

Lelaki itu ditahan di tempat kerjanya pada Selasa.

SEORANG pengawal keselamatan ditahan atas dakwaan melakukan serangan seksual serta merogol dua anak tirinya yang berusia 13 dan 15 tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan serangan seksual terhadap dua mangsa tersebut selama lima tahun sebelum merogol mereka akhir tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Nawawi berkata, dua beradik itu telah menjadi mangsa perlakuan jijik lelaki itu sejak mereka di sekolah rendah.

Beliau berkata suspek mula mencabul dua beradik itu ketika ibu mereka yang berusia 39 tahun mengusahakan gerai burgernya di Tanjong Kling, Melaka.

Mangsa kemudiannya mendedahkan pengalaman pahit itu kepada ibu mereka ketika berada di rumah pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Dijemput rakan sekolah ke sebuah rumah, pelajar perempuan akhirnya dirogol beramai-ramai... Polis berkas 6 remaja lelaki bantu siasatan

"Dua beradik itu memberitahunya bahawa bapa tiri mula mencabul ketika mereka di sekolah rendah dan merogol mereka antara akhir tahun lalu hingga 2 Januari," katanya pada Rabu.

Kerana takut, dua beradik itu terpaksa menyembunyikan apa yang dilalui daripada ibu mereka selama bertahun-tahun.

“Pasangan itu berkahwin tujuh tahun lalu,” tambahnya.

Suspek ditahan di tempat kerjanya pada Selasa dan direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain