suria

Mayat wanita ditemukan ditanam dalam bilik air

Proses membawa keluar mayat seorang wanita yang ditanam di dalam simen. -Foto ihsan bomba

GEMPAR penemuan mayat seorang wanita yang ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa di sekitar Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang, Selangor.

Menurut sumber yang enggan didedahkan identitinya, rumah sewa terbabit terdahulu disewa oleh dua lelaki warga asing yang memaklumkan kepada pemilik rumah bahawa mereka ingin berpindah keluar pada Oktober.

Selepas penyewa itu mengosongkan rumah, pemilik yang merupakan lelaki berusia 66 tahun datang ke kediaman terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum penyewa baharu berpindah masuk.

"Ketika pemeriksaan, lelaki warga emas terbabit menyedari terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya, dia kemudiannya bertanya kepada penyewa lamanya namun tidak mendapat maklum balas.

"Tidak lama selepas itu, mereka memaklumkan kepada pemilik rumah terbabit kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan mereka terpaksa menutupnya dengan simen," katanya memetik Harian Metro.

Menurut sumber lagi, pemilik itu yang tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya mengupah pekerja warga asing untuk membaiki rumahnya sebelum disewa kepada orang lain.

"Ketika proses membaiki itulah mayat mangsa ditemukan di dalam simen terbabit sebelum pemilik rumah tampil membuat laporan polis pada Ahad.

"Polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat," katanya.

Siasatan sedang dijalankan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang ditanam di dalam simen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa yang kita percaya merupakan wanita warga asing itu kini dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang," katanya memetik Sinar Harian.

Pihak polis kini sedang mengesan dua lelaki warga asing untuk siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit.

Sementara itu, satu lagi sumber yang enggan diketahui identitinya mengatakan dia menyedari tentang penemuan mayat berkenaan selepas melihat kehadiran anggota polis dan bomba di hadapan rumah tersebut.

"Lebih kurang jam 9.30 malam semalam saya melihat ramai anggota polis dan bomba tiba di sekitar lokasi kejadian.

"Mereka juga dilihat membawa keluar beberapa gumpalan tanah liat serta satu bungkusan dipercayai mayat wanita berkenaan.

"Saya difahamkan bahawa bomba membantu untuk memecahkan simen bagi mengeluarkan mayat itu.

"Kawasan yang disimen itu adalah kolah di dalam bilik air rumah terbabit," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Lain

Aslam tak mampu poligami - Abby Abadi