suria

Pimpin lafaz syahadah, PM Islamkan saudara baharu di New York... Sampaikan khutbah Jumaat depan 800 jemaah

Perdana Menteri sempurnakan lafaz syahadah kepada seorang lelaki yang memeluk Islam di New York

PENGHORMATAN... Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan untuk menyempurnakan proses lafaz syahadah seorang lelaki yang menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), New York, Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata, beliau diminta oleh komuniti Islam di sana untuk menyempurnakan proses berkenaan pada Jumaat.

“Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz syahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar muncul sebagai pemimpin asing pertama yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di ICCNY di depan 800 jemaah.

Ahli Parlimen Tambun tersebut berada di New York untuk menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Anwar berkata, melalui penghormatan tersebut, beliau dapat berkongsi mengenai pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama, sekali gus hidup rukun damai serta harmoni.

Malah, beliau turut menyeru umat Islam untuk mengukuhkan perpaduan dan menonjolkan hikmah serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.

Anwar juga sempat menjelaskan mengenai konsep Madani yang diperkenal negara dan menyentuh tentang ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya.

Sementara itu, sumbangan naskah al-Quran turut disampaikan kepada pihak ICCNY oleh beliau sendiri untuk kegunaan komuniti Islam di sana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain