suria

Baru kenal sebulan dah buat 7 transaksi perbankan! Lelaki kerugian lebih RM289,000 diperdaya skim pelaburan

Ramai yang mengalami kerugian selepas terlibat dalam skim pelaburan atas talian. -Gambar hiasan The Star

SEORANG pekerja seks mengalami kerugian RM289,067.58 selepas terpedaya dalam skim pelaburan atas talian yang tidak wujud.

Difahamkan, skim tersebut diperkenalkan seorang wanita di media sosial yang baru sahaja menjadi kawannya bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki tempatan berusia 68 tahun itu mendakwa dia berurusan dengan wanita berkenaan melalui Facebook dan WhatsApp pada 24 Ogos lalu.

Katanya, mangsa ditipu suspek untuk menyertai skim pelaburan dengan keuntungan terjamin.

“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi ‘Nicshare’ dengan mengklik pautan pelaburan. Mangsa memberikan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan butiran akaun bank untuk pendaftaran.

“Mangsa juga diberitahu cara mengendalikan aplikasi dan diberitahu dia akan mendapat keuntungan mengikut pelaburannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ismail, mangsa kemudiannya memindahkan wang ke tujuh akaun bank berbeza dari 24 Ogos hingga 21 September.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan walaupun melabur dalam jumlah yang besar.

"Ekoran daripada itu dia membuat laporan polis,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain