suria

Seorang lelaki maut ditetak, mayat dibiar reput! 6 suspek tak puas hati masuk lokap kerana mercun tahun lepas

Kes pembunuhan melibatkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AKIBAT dendam, seorang lelaki dari Tampin Negeri Sembilan dibunuh kejam sebelum mayatnya dibuang di sebuah ladang di Pulau Sebang di Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, polis telah menahan enam suspek berusia 18 hingga 26 tahun di pelbagai lokasi di Tampin, Negri Sembilan, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kesemua enam individu itu adalah rakan mangsa,” katanya pada Jumaat.

Zainol berkata, suspek pada 9 September berkumpul untuk sesi minum pada 10.30 malam di Taman Indah di Tampin.

Suspek dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mereka terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara berhampiran pada awal pagi keesokannya.

“Suspek kemudian mengajak mangsa mengikut mereka menaiki kereta mereka untuk minum,” katanya.

Bagaimanapun, kesemua suspek bergilir-gilir menyerang mangsa di dalam kereta sebelum tiba di ladang yang terletak di Alor Gajah.

Beliau berkata sebaik tiba di ladang itu, seorang daripada suspek mengeluarkan parang dari kereta dan menetak serta menikam mangsa hingga mati sebelum meninggalkan mayatnya di lokasi kejadian.

Zainol berkata siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan laporan polis yang dibuat terhadap mereka kerana menjual mercun semasa musim perayaan tahun lepas yang menyebabkan beberapa daripada mereka ditahan polis ketika itu.

Katanya, suspek berang dengan laporan polis yang dibuat salah seorang ahli keluarga mangsa dan membalas dendam apabila berkesempatan berbuat demikian.

Zainol berkata polis membentuk pasukan yang dipanggil 'Ops Kejam' untuk mengesan suspek selepas prosedur DNA selesai dan ujian itu sepadan dengan ibu bapa mangsa yang sebelum itu membuat laporan polis mengenai kehilangan anak mereka.

Sebelum ini dilaporkan bahawa mayat reput ditemui di tapak itu pada 16 September.

Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kesan tikaman di badannya dan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di Alor Gajah.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang ramai mengenai bau busuk dari tapak berkenaan sebelum mayat reput itu ditemui. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain