suria

Kejayaan luar biasa! Laporan PPPM jadi rujukan, tanda komited atasi isu pendidikan negara

Simbolik majlis pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM.

BENIH yang disemai kini dapat dilihat hasilnya.

Buahnya banyak, masak dan ranum, sekali gus mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Begitulah yang boleh digambarkan terhadap kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) di atas pencapaiannya selama sedekad.

PPPM merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat kajian semula secara menyeluruh mengenai sistem pendidikan dalam negara.

Sebagai bukti komitmen sedekad ke arah reformasi pendidikan, Laporan Tahunan 2022 PPPM menandakan pencapaian penting sebagai laporan kesepuluh sejak pelaksanaannya pada 2013.

Laporan tahunan ini bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi juga memberi penerangan tentang cabaran yang dihadapi oleh pelaksanaan transformasi pendidikan.

Fadhlina melawat ‘Gallery Walk’ di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Laporan Tahunan 2022 PPPM merekodkan pencapaian pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM dan fokus pada pelaksanaan tahun 2023.

Laporan Tahunan 2022 PPPM itu dilancar oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada 22 Ogos lalu.

Menurut Fadhlina, pelancaran tersebut amat penting bagi melihat perkembangan inisiatif dan juga komitmen berterusan KPM dalam isu pendidikan negara.

“Laporan tahunan bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tahun 2022 ini selesai dilancarkan dan ia kini terbuka untuk bacaan dan penglibatan umum.

“Alhamdulillah melihat kepada laporan ini, banyak inisiatif dan kejayaan yang kita boleh saksikan khususnya berkaitaan dengan beberapa aspek tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan Laporan Tahunan 2022 PPPM.

Fadhlina (tengah) selepas pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM.

“Sebagai contoh, isu akses, isu enrollment, kedudukan kita dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan penubuhan beberapa aspek khususnya kualiti guru, penumpuan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perpaduan dan kecekapan dalam pengurusan maklumat,” kata Fadhlina Sidek kepada pemberita.

Fadhlina memberitahu, Laporan Tahunan 2022 PPPM ini adalah penting sebagai penghubung antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan masyarakat.

“Dari segi askes, dapat dilihat dalam laporan ini, beberapa segmen anak-anak yang sudahpun kita tangani khususnya orang asli, program untuk akses sekolah dalam hospital, sekolah-sekolah integriti, dan pencapaian untuk program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

“Jadi hasrat saya cukup besar, laporan ini diangkat dalam kalangan awam dan selepas ini akan ada lebih banyak sesi libat urus, untuk sama-sama kita lihat dan adakan sesi sumbang saran daripada masyarakat.

“Tahniah saya ucapkan kepada Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU) dan semua peneraju KPM yang telah menghasilkan dan mengilhamkan laporan ini berserta inisiatif-inisiatif yang akan datang,” katanya lagi.

Fadhlina (tiga, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM.

Mengimbas kembali visi transformasi pendidikan, PPPM mula dilancarkan pada tahun 2013 apabila Malaysia memulakan laluan berwawasan, melancarkan pelan tindakan pendidikan komprehensif yang bertujuan untuk mengubah landskap pendidikan negara.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelan transformasi tersebut bertujuan untuk menangani isu kebolehcapaian, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, menetapkan trajektori yang bercita-cita tinggi untuk sektor pendidikan negara.

Demi kepentingan dan ketelusan, laporan tahunan PPPM juga menyatakan halangan yang dihadapi dan pencapaian warga pendidik.

“Walaupun laluan menuju transformasi pendidikan telah diturap dengan niat murni, ia bukan tanpa cabaran.

“Setiap laporan tahunan PPPM dari 2013 menunjukkan pencapaian transformatif yang telah muncul sepanjang dekad yang lalu.

“Daripada peningkatan prestasi pelajar dan latihan guru yang dipertingkatkan kepada penyepaduan teknologi dalam bilik darjah, laporan tersebut menggariskan impak PPPM terhadap pendidikan di semua peringkat,” menurut kenyataan itu.

Fadhlina (tengah) selepas pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM.

Melihat kepada kepentingan yang diperoleh laporan PPPM berusia hampir sedekad ini, ia boleh dijadikan rujukan untuk ruang penambahbaikan.

“Para pihak berkepentingan boleh merujuk setiap laporan tahunan sejak 2013 hingga 2022 untuk mengetahui tentang ‘lessons learnt’ daripada sedekad pelaksanaan PPPM.

“Ia mencatatkan kejayaan, cabaran, juga penglibatan pelbagai pihak dalam transformasi pendidikan seperti komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat yang telah menyumbang kepada kejayaan keseluruhan PPPM,” kata KPM.

Edisi kesepuluh laporan tahunan PPPM untuk tahun 2022 ini dilancarkan dengan tujuan untuk memacu transformasi pendidikan negara.

“Laporan Tahunan 2022 dan Gallery Walk jelas menunjukkan walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan, ia dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi dan inovasi mampan.

“Pencapaian yang dinikmati daripada perjalanan sedekad ini, telah membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah terhadap sistem pendidikan di Malaysia serta mengukuhkan lagi legasi PPPM sebagai mercu tanda perubahan,” ujar KPM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain