suria

“Last sekali dia kata adik sayang mama” - Ibu juruterbang pesawat terhempas terngiang-ngiang perbualan telefon dengan arwah

Ibu juruterbang sebak kenang perbualan terakhir dengan Allahyarham.

IBU kepada juruterbang yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam sebak tatkala mengenang perbualan penuh beremosi mereka kira-kira dua bulan lalu.

Menurut Mahanom Ismail, 67, anaknya iaitu Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, menghubunginya sebelum dia menjalani pembedahan usus dan hempedu di Hospital Angkatan Tentera (ATM) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, 24 Jun lalu.

"Masa tu saya masuk wad. Jadi dia tak balik. Alasan dia takut nanti anak-anak buat kecoh rumah mama, mama sakit, lepas tu nak kena kemas. Tunggu mama sihat baru bawa anak-anak balik.

"Last sekali dia kata adik sayang mama," ujarnya sebak ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Khamis malam.

Menurut Mahanom yang juga isteri kepada bekas juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Allahyarham Shahrul merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa nahas cuba tenangkan diri, sangka baik bukan pesawat dinaiki suami terhempas - “Anak sakit, dia 50-50 nak pergi”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ingatkan pertunjukan udara” - Orang pertama hubungi 999 nampak pesawat laju terbang mengiring sebelum terjunam

Mahanom berkata, Allahyarham berkemungkinan dikebumikan di Taman Melawati, Kuala Lumpur, atau Bukit Jelutong, Shah Alam, namun akan berbincang terlebih dahulu tentang hal itu dengan besannya.

Terdahulu, mStar melaporkan 10 individu termasuk seorang pemandu dan penunggang motosikal maut selepas sebuah pesawat terhempas di Elmina.

Turut terkorban, Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Umno Bahagian Bentong, Datuk Seri Johari Harun.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV terhempas pada petang Khamis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain