suria

Wanita kejar lelaki gila seks, rakam aksi tengah kencing! Suspek sempat padam tapi kantoi dalam folder ‘trash’

Rakaman CCTV mengenai kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak pada Sabtu lalu.

BANYAK perkongsian dipaparkan di media sosial mengenai insiden tandas awam wanita dicerobohi individu yang mahu mengintip.

Dalam satu kejadian terbaharu, seorang wanita berkongsi detik cemas di mana dia diintip dan dirakam oleh seorang lelaki ketika sedang menggunakan tandas awam di sebuah stesen minyak.

Menerusi hantaran di TikTok, wanita yang menggunakan akaun @zaujatiaiman berkata, ketika kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu lalu, dia dan suaminya singgah sebentar di stesen minyak Jalan Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

"Selepas meletakkan kereta berhampiran dengan pam tayar dan meminta suami untuk tolong pam tayar, saya berjalan masuk ke dalam toilet tanpa menyedari yang saya sedang diekori.

"Semasa hampir selesai membuang air kecil, saya terdengar ada sesuatu yang terhempas. Kerana terkejut, saya terus bangun dan memakai semula seluar.

"Apabila pandang ke atas, saya terkejut melihat tangan beserta telefon bimbit sedang merakam saya. Lalu saya menjerit meminta tolong dan terus keluar dari toilet," tulisnya dalam perkongsian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah leka ‘lepas hajat’ dalam tandas R&R, pemuda terkejut ada orang rakam dari bawah – “Lelaki berak pun kau bernafsu”

Wanita itu berkata, dia terus mengejar lelaki berkenaan sambil menjerit meminta pertolongan.

"Suami dan orang awam yang mendengar jeritan saya kemudian membantu dan berjaya menahan lelaki tersebut.

"Kerana panik, lelaki tersebut segera mengeluarkan telefon bimbit dan memadam rakaman yang diambil di dalam toilet tadi.

"Saya merampas telefon bimbit lelaki tersebut dan menyuruhnya membuka ruangan simpan trash dan di situlah saya mendapati ada video rakaman saya di dalam toilet tadi," ceritanya.

Ujar wanita tersebut, suaminya kemudian menelefon pihak polis dan lelaki berkenaan diberkas untuk siasatan lanjut.

Dalam perkongsian itu juga, dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu dan menasihatkan agar golongan wanita untuk sentiasa berhati-hati.

"Pesanan saya buat semua wanita, pastikan tandas awam tu betul-betul selamat baru gunakan dan adalah lebih baik jika kita mengunci pintu utama atau jangan berseorangan demi keselamatan," katanya lagi.

Bersama perkongsian tersebut, dia turut memuat naik video kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Sehingga kini, perkongsian wanita itu meraih 1.2 juta jumlah tontonan di laman TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain