suria

“Kena bawah sikit, gelap dunia mama” - Ketua kelas lumpuh ditendang di kepala, puncanya tegur kawan sebar video lucah

dSeorang pelajar dimasukkan ke hospital selepas didakwa ditendang oleh rakan sekelas.

SAYU hati seorang ibu apabila mendapat khabar duka anaknya lumpuh akibat ditendang di kepala.

Lebih memilukan apabila puncanya dikatakan hanya kerana menegur rakan sekelas yang menyebarkan video lucah dalam grup WhatsApp sekolah.

Terkini, ibu mangsa memberitahu, anak lelakinya yang berada di hospital kini sudah boleh menggerakkan tangan dan kaki.

Bagaimanapun katanya, prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) perlu dilakukan terhadap anaknya.

"Anak sudah boleh menggerakkan tangan dan kaki. Namun ujian MRI perlu dilakukan untuk mengesan kecederaan dalaman.

"Doakan anak saya sembuh sepenuhnya dan jauh dari segala mudarat," tulisnya, memaklumkan perkembangan terkini anaknya menerusi hantaran di Facebook.

Perkongsian seorang ibu mengenai anaknya yang ditendang di kepala gara-gara menegur rakan menyebarkan video lucah di grup WhatsApp.

Terdahulu pada Rabu, ibu malang itu dalam posting di Facebook mendakwa dia dimaklumkan oleh warden mengenai anak lelakinya lumpuh dan tidak dapat menggerakkan badan akibat ditendang.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam penjara! Murid darjah 1 didakwa dikurung dalam bilik pagar besi, ada kotak elektrik undang bahaya

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami sekeluarga mohon maaf" - Bapa murid darjah 1 maklum anak bergurau londeh seluar kawan, kini trauma nak pergi sekolah

Menurutnya, dia mendapat khabar duka itu menerusi panggilan daripada warden asrama, namun tidak menyatakan waktu kejadian dan lokasi sekolah anaknya.

"Mimpi buruk bagi seorang ibu apabila menerima berita yang paling ditakutkan. Panggilan daripada warden asrama menyatakan anak jadi lumpuh tak dapat menggerakkan badan kerana ada budak telah menendang kepalanya.

"Dia dikejarkan ke hospital oleh ambulans, hanya Allah saja yang tahu isi hati seorang ibu," katanya.

Wanita itu mendakwa anaknya yang merupakan ketua kelas bertindak menegur kawan sekelasnya yang menyebarkan video lucah ke dalam grup Whatsapp sekolah tetapi dibalas dengan tendangan kuat di kepala.

"Mujur Allah pelihara anak, doktor kata kalau tendangan tu kena bahagian bawah sikit, maka gelaplah dunia mama. Syukur Allah pelihara," ujarnya.

Tambah si ibu, anaknya tidak suka sebarang bentuk keganasan, konfrontasi dan kekerasan.

"Jiwanya penuh empati hasil didikan dari kecil bergaul dengan gelandangan, anak-anak yatim, Orang Asli dan golongan vulnerable.

"Tapi itulah takdir Allah yang sangat berat untuk hati seorang ibu menerimanya bila anak orang lain boleh berbuat sesuka hati terhadap anak sendiri," katanya lagi.

Wanita itu turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain