suria

Singapura mohon maaf kepada Malaysia susulan lawak melampau Jocelyn Chia

Pelawak wanita, Jocelyn Chia mengundang kecaman ramai susulan jenakanya yang melampau.

KERAJAAN Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, membuat permohonan maaf itu menerusi satu kenyataan pada Khamis.

"Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau mengguris hati perasaan orang lain.

"Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan Singapura," katanya.

Tambahnya, Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan kukuh di pelbagai peringkat dengan ikatan yang cukup mendalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Pelawak wanita Singapura hina Malaysia, buat jenaka isu tragedi MH370

"Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan erat antara rakyat dengan rakyat.

"Komen-komen seperti yang dibuat oleh Jocelyn tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya," katanya lagi.

Jocelyn dalam satu program lawak jenaka baru-baru ini beberapa kali dilihat sengaja mempersenda Malaysia dalam sketsa komedinya.

Wanita terbabit membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan antara Malaysia dan negaranya.

Selain itu, Jocelyn turut menyentuh isu kontroversi berkaitan tragedi kehilangan pesawat milik Malaysia, MH370.

Pelawak itu yang dipercayai lahir di Singapura membuat persembahan komedi yang diadakan di Manhattan, New York.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain