suria

Ramai dapat notifikasi, gempa bumi di Indonesia dirasai di beberapa negeri di Malaysia

Gegaran akibat gempa bumi di Indonesia turut dirasai di beberapa negeri di negara ini.

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.2 melanda Utara Sumatera, Indonesia pada 10.59 malam IIsnin, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menerusi portal METMalaysia, gempa bumi dengan kedalaman 86 kilometer itu berlaku pada jarak 84 kilometer barat daya dari Padang Sidempuan, Indonesia.

Berdasarkan penilaian dibuat, gegaran di negara jiran itu mungkin turut dirasai di beberapa negeri di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

METMalaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa yang berlaku.

Semakan di laman sosial Twitter pula mendapati pengguna dari pelbagai lokasi turut merasai gegaran yang berlaku.

Rata-ratanya turut berkongsi tangkap layar amaran awal gempa bumi dari sistem Android yang diterima menerusi notifikasi telefon pintar masing-masing.

Pastinya perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi dengan rata-rata menyoal kesahihan insiden itu.

Komen netizen di Twitter.

"Menerima notifikasi amaran gempa bumi di telefon pintar saya. Siapa yang menerima notifikasi sama?" soal pelayar @XavierNaxa menerusi ciapan di Twitter.

Pelbagai reaksi dapat dilihat membalas ciapan asal tersebut.

"Sama. Pangsapuri saya dekat Shah Alam bergegar tadi. Rasa pening-pening jugalah.

"Ingatkan saya pening atau penat. Tapi tengok telefon ada notifikasi," ujar beberapa netizen.

Sebagaimana dinyatakan, ini adalah maklumat akhir yang dikeluarkan oleh jabatan berkaitan kejadian gempa bumi tersebut melainkan jika terdapat perkembangan lanjut atau maklumat tambahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain