suria

Pencarum KWSP boleh buat pinjam bank bermula 7 April, kadar faedah lebih rendah

Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank mulai 7 April. Kamarul Ariffin/THE STAR

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank bermula 7 April ini dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan KWSP pada Isnin, dua bank menyediakan kemudahan pinjaman ini iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.

Dari semasa ke semasa, pertimbangan akan dibuat untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

file7pm0z8zay4i2p8c8h2a

Kenyataan itu seterusnya menyebut pinjaman ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) iaitu antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

KWSP menyatakan jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Seterusnya mengenai mekanisme, terma dan syarat Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), ia kini boleh digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman bank yang dibuat oleh pencarum.

"FSA2 adalah kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

"Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

"Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat, di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

"Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka," katanya.

file7pm0z3eg64ib40xrh2b

Sebagai makluman, permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian.

Tambah KWSP, sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 dan ia hendaklah dilakukan mengikut terma serta syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

Jelasnya lagi, setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal pengeluaran kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

FSA 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Sepanjang Fasa 1, pelaksanaan skim akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Katanya, tarikh untuk Fasa 2 membabitkan ahli KWSP di bawah umur 40 tahun, akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka,” nyatanya.

KWSP menyatakan kemudahan pembiayaan ini disasarkan kepada ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.

Lanjutan dari itu, fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

"Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

"Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun.

“Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli," katanya.

KWSP menegaskan bahawa simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan, seterusnya membolehkan mereka mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

Selain itu, ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

"Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran prapersaraan lain daripada KWSP.

"Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini," katanya.

Pencarum perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan FSA2, mereka boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain