suria

Kecoh tarikh akhir Ramadan 20 April, Masjid W.Persekutuan beri penjelasan

Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan orang ramai.

TULAR di media sosial mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang kononnya jatuh pada 21 April iaitu pada hari Jumaat.

Ia susulan tersebarnya tangkap layar daripada skrin Masjid Wilayah Persekutuan, yang memaparkan tarikh akhir Ramadan adalah pada 20 April.

Hebahan berkenaan mencetuskan kekecohan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar yang mana 1 Syawal jatuh pada 22 April (Sabtu).

Berikutan itu, pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebooknya tampil menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

"Tular satu tangkap layar berhubung gambar counting (kiraan) tarikh 'Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023' di Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir di bulan Ramadan supaya dapat meningkatkan ibadah.

"Pihak Masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar 1 Syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja," jelasnya.

Justeru, pihak masjid meminta orang ramai untuk tidak beranggapan bahawa tarikh yang dipaparkan adalah suatu ketetapan.

"Marilah kita terus kekal istiqamah menghidupkan bulan mulia Ramadan dengan amalan soleh bagi meraih ganjaran yang berlipat kali ganda," tulisnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain