suria

“I feel malu” - Kecoh penerbangan antarabangsa, tapi kabin pesawat bertampal sana sini! AirAsia beri penjelasan

Keadaan pita pelekat kuning pada tempat duduk pesawat.

KECOH apabila tular beberapa gambar kabin pesawat AirAsia yang dipenuhi dengan pita pelekat kuning.

Menerusi satu hantaran di Facebook, foto yang dimuat naik itu didakwa membabitkan penerbangan dari Taipei ke Kuala Lumpur, pada Isnin.

Individu yang berkongsi gambar tersebut meluahkan rasa malu dengan insiden itu, sambil menjelaskan ia boleh mencemarkan imej negara.

"Saya rasa malu. Warga asing pasti fikir mereka akan pergi ke negara yang sangat mundur. Pesawat dilekatkan dengan pita. Penerbangan antarabangsa!" tulisnya dalam hantaran itu.

airasia pelekat kuning 7

Hantaran di Facebook menjadi tular.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada individu berkenaan merupakan salah seorang penumpang bagi penerbangan yang dinyatakan atau sebaliknya.

Dalam ruangan komen di salah satu gambar, individu berkenaan memaklumkan hanya kelas perniagaan tidak terkesan dengan situasi tersebut.

"Hanya kelas perniagaan tidak terjejas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ketepikan isu 'delay', puji kru kabin AirAsia papah suami isteri buta turun pesawat... Teknik pegang bahu pun betul!

Setakat ini, hantaran tersebut dikongsi lebih 2,800 kali.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan apa yang berlaku dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Malah, ada yang mahu tahu mengapa perkara tersebut boleh berlaku dalam pesawat.

"Serius? Sekurang-kurangnya guna pita hitamlah.

"Benda itu 'dirosakkan' oleh pelanggan 'murah', bukan syarikat penerbangan.

"Rekaan tempat duduk baharu.

"Saya hanya nak tahu apa puncanya," demikian antara komen netizen.

airasia pelekat kuning 5

Foto yang tular menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, AirAsia mengesahkan insiden yang berlaku melibatkan pesawatnya.

Ketua Kejuruteraan AirAsia X, Alvin Tan berkata, ia berlaku disebabkan oleh kekurangan alat ganti aksesori pesawat yang menjejaskan pengendali di seluruh dunia.

Mengambil kira bahawa ia bukan isu keselamatan, beliau memberitahu bahawa pita vinil yang khusus, yang biasa digunakan untuk pembaikan kosmetik kabin, digunakan sebagai langkah sementara.

"Ia bertujuan untuk mengelakkan gangguan penerbangan, dan untuk mengutamakan keselamatan penumpang kami dan tiba ke destinasi mereka tepat pada masanya," katanya menerusi kenyataan kepada mStar, Selasa.

Mengulas lanjut, Alvin berkata, tempahan alat ganti yang dibuat pada Ogos 2022 telah diperoleh pada minggu lalu, sambil menambah kerja-kerja pembaikan sedang berjalan secara berperingkat untuk membaiki semua penutup tempat letak tangan pada tempat duduk.

Difahamkan, ketika ini masalah kekurangan alat ganti aksesori pesawat turut dihadapi oleh syarikat penerbangan lain.

Beberapa hantaran di media sosial turut memaparkan masalah sama berlaku pada syarikat penerbangan lain, sehingga terpaksa menggunakan pita pelekat buat sementara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain