suria

Pesakit mental tikam orang di Hospital Selayang, dapat pisau dari pantri jururawat

Pesakit psikiatrik itu dikatakan menggunakan pisau yang diperoleh dari pantri jururawat. (gambar hiasan) Foto: Freepik

INDIVIDU yang menikam seorang lelaki pertengahan usia di Hospital Selayang pada Selasa merupakan pesakit psikiatrik dan sudah ditahan polis, ujar Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

"Sebelum tular maklumat yang salah, saya ingin memaklumkan bahawa kejadian lelaki ditikam itu membabitkan seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh pihak polis," kata Ketua Pengarah Kesihatan itu pada Rabu.

Noor Hisham menambah bahawa insiden sebegitu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pihak Kementerian Kesihatan sedang menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pesakit psikiatrik.

"Kita akan mengkaji semula SOP berhubung pesakit mental bagi menjamin keselamatan pesakit lain di wad kecemasan dan klinik," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan The Straits Times pada Selasa, seorang pesakit psikiatrik yang kelihatan gelisah bertindak menikam seorang lelaki pertengahan usia sebanyak tiga kali ketika sedang menunggu di hospital.

Pesakit psikiatrik itu dikatakan mengambil sebilah pisau dari pantri jururawat dan menikam seorang pesakit denggi di bahagian belakang selain sebanyak dua kali di bahagian perut.

Mangsa terpaksa menjalani pembedahan segera selepas insiden kerana pisau tersebut tertususk ke dalam perutnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata insiden tikam di Hospital Selayang itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan.

Dr Zaliha bergegas ke tempat kejadian selepas persidangan di Parlimen untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat daripada pihak hospital.

"Status terkini pesakit juga akan dilporkan daripada semasa ke semasa kepada keluarga," katanya melalui satu ciapan di Twitter. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain