suria

Kemasukan pelancong asing bakal diperketat, keselamatan rakyat jadi keutamaan - Anwar

Tindakan untuk mengawal kemasukan pelancong asing bakal diperketat - Foto: AFP

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan untuk mengawal kemasukan pelancong asing bakal diperketat berikutan kebimbangan rakyat berkenaan penularan wabak Covid-19.

"Kabinet telah secara tegas memutuskan bahawa kesihatan adalah keutamaan utama, dan persoalan mengenai pelancongan dan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan mengetatkan kawalan kemasukan pelancong asing ke negara ini bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa tindakan yang diambil bukan bertujuan untuk mendiskriminasi China, tetapi juga akan terpakai kepada negara yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi seperti Amerika Syarikat (AS).

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Lonjakan kes Covid-19 di China... pakar beri amaran muncul varian baharu, ikuti nasihat ini

Keputusan oleh Kabinet dibuat ketika China sedang mengalami gelombang besar jangkitan Covid-19.

Dijangka lebih sejuta pelancong dari China memasuki Malaysia selepas larangan perjalanan ditarik balik oleh negara berkenaan, Ahad ini.

China juga mengumumkan bahawa ia akan menarik balik larangan perjalanan keluar untuk rakyatnya yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020.

Pihak berkuasa di beberapa negara seperti Jepun, India, AS, Itali, dan Taiwan juga telah melaksanakan ujian Covid-19 mandatori untuk pelancong yang tiba dari China.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata semua pelancong yang tiba dari luar negara, khususnya dari China, akan disaring berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan jangkitan tempatan.

Beliau berkata mereka yang menunjukkan gejala jangkitan akan dikuarantin untuk ujian lanjut.

Mengulas mengenai kadar pengambilan yang sangat rendah oleh rakyat Malaysia terhadap suntikan penggalak Covid-19, Anwar berkata kira-kira enam juta dos penggalak masih tersedia, dan menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin sebagai satu bentuk perlindungan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain