suria

Tiga dimasukkan ke Hospital Selayang... operasi mencari, menyelamat 12 lagi mangsa diteruskan

Keadaan berhampiran kawasan tanah runtuh di Ladang Organik Bapa, Batang Kali, Selangor pada Jumaat

TIGA mangsa tanah runtuh Batang Kali termasuk seorang wanita hamil yang dimasukkan ke Hospital Selayang kini keluar dari zon merah dan dimasukkan ke wad.

Walaupun dilaporkan dalam keadaan baik dan selesa namun selepas melalui pengalaman ngeri itu, berkemungkinan besar mereka mengalami trauma, menurut pihak hospital.

Menurut rakan mangsa yang ditemubual pada Jumaat, difahamkan seorang daripada mereka masih menunggu perkembangan anak lelaki yang hilang berusia lapan tahun.

Setakat ini, masih belum ada pengesahan mengenai status kanak-kanak itu, sama ada daripada pihak keluarga mahupun rakan.

Sementara itu, pihak hospital memberi jaminan bahawa perkembangan mangsa akan dipantau dengan teliti.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencari baki 12 mangsa di tapak perkhemahan yang dilanda tanah runtuh di sini disambung semula pada pagi Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat kepada 21

Pihak polis berkata mereka telah menghentikan operasi sekitar tengah malam Jumaat kerana cuaca yang tidak baik.

Bagaimanapun pasukan penyelamat meneruskan pencarian sekitar jam 7.30 pagi Sabtu.

Angka kematian ketika ini berjumlah 21 dan seramai 61 orang telah diselamatkan.

Antara yang terlibat dalam SAR ialah unit anjing pengesan K9, Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas, serta Pasukan Operasi dan Penyelamat Taktikal Khas.

Usaha SAR dibahagikan kepada tiga zon - Pemandangan Bukit Sektor A, Sektor B, Pemandangan Ladang dan Tepi Sungai Sektor C, dengan tumpuan kini diberikan kepada Sektor A dan Sektor B.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan RM10,000 untuk waris mangsa terkirban dan RM1,000 untuk mangsa lain. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain