suria

Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat kepada 21

Keadaan di sekitar lokasi tanah runtuh di Father's Organic Farm. FAIHAN GHANI/The Star

ANGKA korban tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, mencecah 21 mangsa, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihak berkuasa sedang giat mencari 12 mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

"Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi ini.

"Kita mendoakan agar kesemua mangsa dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

Ahmad Zahid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan dan agensi dengan kepakaran masing-masing sedang melakukan yang terbaik untuk mencari mangsa yang hilang.

"Pelbagai teknologi dan jentera telah dikerahkan serta penggunaan anjing penghidu K-9 dalam operasi pencarian," kata Zahid.

Sebagai pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Ahmad Zahid berkata dia akan terus memantau perkembangan di lokasi tanah runtuh.

Dia memaklumkan kerajaan sudah mengarahkan sebarang tapak perkhemahan yang terletak berdekatan dengan sungai atau lereng bukit untuk menghentikan seketika operasi ketika musim cuti persekolahan ini.

"Jabatan Meteorologi ada memberi notis hujan lebat bermula pada Sabtu, 17 Disember terutamanya di Pantai Timur dan ia boleh menyebabkan air sungai untuk melimpah.

"Kita belajar dari apa yang berlaku di sini. Saya berharap semua ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar untuk tidak membuat aktiviti perkhemahan berdekatan sungai dan lereng bukit.

"Kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain