suria

Penduduk gempar ikan bilis mata biru terdampar di pantai

Orang ramai mengutip ikan bilis di pantai Pasir Bogak.

PENDUDUK di Pulau Pangkor digemparkan dengan fenomena ikan bilis mata biru yang terdampar di pantai Pasir Bogak.

Beberapa video menunjukkan orang ramai mengutip ikan bilis di pantai berkenaan, tular di media sosial sejak Ahad.

Menyaksikan fenomena aneh itu, seorang penduduk, Roslan Ahmad, 58, berkata, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang dia membesar di pulau berkenaan sebagai nelayan.

"Ini luar biasa tidak pernah berlaku pun sebelum ini. Hanya di pantai Pasir Bogak, pantai lain seperti Teluk Nipah tiada pula.

"Beberapa hari ini penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan memenuhi kawasan pantai mengutip ikan itu. Sedap direbus dan buat cucur ikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari oleh rakannya yang ternampak biasan cahaya bersinar-sinar di pesisir pantai sekitar jam 8.30 malam.

"Bila dilihat dari dekat nampak ribuan ikan bilis berselerak. Kejadian ini mungkin berlaku disebabkan air pasang dan bulan penuh.

"Semalam ada juga penduduk yang menunggu untuk menyaksikan sendiri kejadian itu tetapi tiada ikan bilis yang naik. Sekali itu sahaja, lepas tu tiada," katanya.

Roslan berkata, kebiasaannya ikan bilis ini ditangkap nelayan sekitar lima hingga 10 batu nautika.

"Ini rezeki buat penduduk dan nelayan setempat. Tidak dinafikan hasil tangkapan akhir-akhir ini tidak putus-putus.

"Saya menganggap ia satu tanda kebesaran daripada Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, pihaknya akan meneliti bagi mengetahui punca fenomena yang berlaku itu.

Beliau menambah, satu batu nautika dari pesisiran pantai adalah zon konservasi kawasan pembiakan semua jenis ikan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain