suria

Gara-gara suruh rakyat kurangkan makan telur, Pengarah KPDNHEP Melaka dikecam di media sosial

Norena dikecam ramai susulan kenyataannya yang menyarankan rakyat mengurangkan pengambilan telur.

UMUM mengetahui bermula 1 Julai, harga bagi beberapa barangan keperluan mencatatkan sedikit peningkatan dengan kerajaan menetapkan harga siling baharu untuk barang mentah seperti ayam dan telur ayam.

Menerusi pengumuman kerajaan pada Rabu, harga runcit siling ayam bagi semenanjung ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram, naik 50sen daripada RM8.90.

Sementara itu harga siling telur ayam pula naik antara 2 sen bagi setiap gred iaitu 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen sebiji bagi gred B; dan 41 sen sebiji bagi gred C.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar tarif elektrik dan air kekal, harga ayam tidak diapungkan - PM

Kenaikan harga tersebut sudah semestinya mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen.

Bagaimanapun, video memaparkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar yang menyarankan orang ramai khususnya rakyat Melaka agar mengurangkan pengambilan telur berikutan harga baharu itu, sekaligus menimbulkan kemarahan ramai.

"Kita sebagai pengguna kalau dah tahu kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.

"Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah.

"Itu adalah cara gaya hidup kita," katanya dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube Melaka TV.

Norena berkata kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandar Raya Melaka, pada Jumaat.

komen telur

Sebahagian komen netizen yang menyelar kenyataan Norena.

Ujarnya, rakyat perlu memahami situasi kenaikan harga barang disebabkan inflasi di seluruh negara ketika ini.

"Sekarang ini kerajaan memutuskan untuk bagi lagi pelbagai subsidi untuk bagi kita tak terbeban dengan inflasi tapi kita mohon sangat dengan rakyat terutama rakyat Melaka supaya faham, kita sekarang dalam inflasi yang tinggi.

"Bukan Malaysia sahaja alami tekanan barangan naik, bahkan satu dunia. Ini bukan isu baru," katanya lagi.

Rakaman video berkenaan tular sejak semalam (Jumaat) di media sosial dan menerima kecaman hebat daripada masyarakat.

Rata-ratanya meluahkan rasa kecewa kerana kenyataan tersebut yang disifatkan 'dangkal' dan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Kenyataan seperti ini tak sepatutnya keluar dari seotang yang berstatus pengarah negeri. Ini bukan penyelesaian bagi rakyat.

"Bagaimana pula dengan keluarga yang hanya mampu makan telur untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam? Statement b*d*h.

"Kenyataan paling kelakar pada 2022," demikian antara komen warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain