suria

Tragedi berdarah hari pertama bekerja, warga Bangladesh maut disamun

S Vijaya (tengah) menunjukkan gambar keadaan mangsa ketika ditemui di lokasi kejadian. foto Sinar Harian

TRAGEDI malang menimpa seorang pekerja kilang warga Bangladesh, apabila meninggal dunia pada 15 Jun lalu selepas terbabit dalam kejadian samun.

Dalam kejadian di Batu 5 1/2 Jalan Haji Abdul Manan di Klang, mangsa maut dipercayai disamun.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada Khamis.

S Vijaya berkata, mangsa sebelum itu ditemui di lokasi kejadian dalam keadaan besi tertusuk di bahagian belakang kepalanya pada 13 Jun lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berumur 42 tahun ditemui dalam keadaan parah setelah tertusuk besi.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa samun," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.03 petang 15 Jun lalu selepas dua hari menerima rawatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa mempunyai unsur jenayah," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan turut mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru hari pertama bekerja di sebuah kilang berhampiran lokasi kejadian.

"Mangsa sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur, berhenti sebelum bekerja di sebuah kilang berhampiran.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-32913344 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong menerusi talian 012-4071452," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain