suria

Pasangan terbabit kemalangan larikan kereta individu berhenti hulur bantuan… anak mati digilis ditinggalkan

Keadaan kereta jenis Proton Iswara selepas terbabit dalam kemalangan. foto Kosmo

KECOH mengenai pasangan yang dikatakan suami isteri nekad melarikan diri serta meninggalkan mayat anak mereka selepas terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab bagaimanapun berkata, hasil siasatan lanjut mendapati status hubungan kedua-dua suspek masing-masing berusia 30-an dan 20-an itu bukan suami isteri seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurutnya, kedua-duanya telah dikenakan reman malah suspek lelaki juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala suspek wanita mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.

"Suspek lelaki telah direman selama empat hari bermula Isnin lalu di Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985, manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula, reman akan dimohon.

"Pasangannya yang juga ibu mangsa hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan. Kedua-duanya positif dadah dalam ujian urin yang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, dekat Tampin, pada Ahad malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, pasangan itu melarikan melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Difahamkan kenderaan tersebut milik seorang pengguna jalan raya yang telah berhenti untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat kemalangan.

Anuwal berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang dipandu suspek lelaki telah cuba memotong sebuah lori namun tiba-tiba ia gagal dikawal lalu terbabas ke kanan jalan.

"Kenderaan tersebut telah berpusing beberapa kali menyebabkan bergesel dengan lori tersebut. Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang kereta telah tercampak keluar daripada kenderaan.

"Seorang kanak-kanak lelaki telah tercampak di tengah jalan dan telah digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

"Lelaki dan wanita yang terbabit kemalangan tersebut telah melarikan sebuah kenderaan jenis pacuan empat milik pengguna jalan raya yang memberi bantuan di tempat kejadian," katanya.

Tambah Anuwal, polis menahan pasangan tersebut di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

Jenazah kanak-kanak terbabit sudah dituntut oleh bapa kandung dari Hospital Tampin dan selamat dikebumikan pada Rabu. - Utusan Malaysia

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain