suria

Geng ADC tumpas, tiga wanita antara ditahan terlibat pecah rumah

Sebahagian barangan pecah rumah yang dirampas.

PASUKAN polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang dikenali sebagai Geng ADC di Melaka.

Difahamkan kumpulan yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita itu terlibat dengan enam kes pecah rumah di sekitar negeri berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa terima 10 jahitan di tangan, rumah dipecah masuk waktu sahur

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 43 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bharu pada 7 Mac hingga 12 April lalu.

Menurutnya, polis menubuhkan pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas menerima laporan mengenai beberapa kejadian pecah rumah, ceroboh dan melarikan kenderaan pada 6 dan 7 Mac lalu membabitkan kerugian RM245,100.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun ini dan perancang utama dikenali sebagai Adib berusia 32 tahun.

"Modus operandi mereka dengan cara menyewa kenderaan di kawasan Johor Bahru dan akan pergi ke daerah atau negeri berdekatan untuk melakukan jenayah.

"Suspek turut menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni dan akan masuk dengan cara mengumpil tingkap atau pintu sliding," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua mereka mempunyai peranan tersendiri termasuk sebagai pemandu, tukang umpil, jual barangan hasil samun serta memerhati kawasan sekeliling.

Ujar beliau, hasil daripada serbuan itu polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Toyota Harrier, Volkswagen Passat dan Perodua Myvi, beberapa beg tangan selain peralatan disyaki digunakan untuk pecah rumah. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain