suria

Pintu sempadan darat Singapura – Malaysia dibuka 1 April... ada 3 perkara anda tak perlu buat

Pembukaan semula sempadan darat Malaysia dan Singapura berkuat kuasa 1 April ini.

BERITA baik buat rakyat Malaysia apabila Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kedua-dua perdana menteri bersetuju membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia bebas melancong, MySejahtera bakal disenaraikan dalam sistem EU

Berikut adalah protokol khusus perlu dan tidak perlu bagi semua pengembara yang melalui sempadan darat Malaysia-Singapura:

Pengembara yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.

1. Tidak perlu menjalani kuarantin.

2. Tidak perlu melakukan pengujian Covid-19 sebelum berlepas.

3. Tidak perlu melakukan pengujian Covid-19 semasa ketibaan.

Selain itu, bagi semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 yang melalui sempadan udara Malaysia dan Singapura:

1. Perlu melakukan pengujian Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas.

2. Tidak perlu menjalani kuarantin dan melakukan pengujian Covid-19 semasa ketibaan.

Sementara itu, mengenai pintu sempadan darat antara Malaysia dan Thailand, Khairy berkata, hanya dua pintu sempadan darat yang dipersetujui untuk dibuka bermula 1 April iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

"Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja. Bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

"Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain