suria

Kurang 50 peratus masyarakat Melayu ambil dos penggalak - Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan peratusan pengambilan dos penggalak mengikut kaum di seluruh negara menerusi ciapannya. Foto: Bernama

KURANG daripada separuh populasi masyarakat Melayu yang mengambil suntikan dos penggalak Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menulis di Twitter, Menteri Kesihatan itu mendedahkan hanya 47.9 peratus masyarakat Melayu di seluruh negara telah mengambil dos ketiga vaksin Covid-19 setakat 10 Februari.

Secara perbandingan, carta yang turut dimuat naik di ciapan itu menunjukkan 81.3 peratus masyarakat Cina dan 56.4 peratus masyarakat India telah mengambil dos penggalak.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas, penerima Sinovac mesti ambil dos penggalak sebelum 1 Mac... jika tidak sijil vaksinasi akan bertukar ke warna putih

Ia diikuti oleh 50.6 peratus oleh kumpulan kaum lain, dan 49.6 peratus daripada Orang Asli dan Bumiputera lain.

"Pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula. Dos penggalak memeberi perlindungan yang baik terutama dalam gelombang Omicron.

"80 peratus masyarakat Cina boosted. Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50 peratus," tulisnya.

Khairy kemudiannya memuji Sarawak kerana menjadi negeri terbaik dengan mencatatakan 80 peratus masyarakat Melayu menerima suntikan dos penggalak, diikuti Cina (85.6 peratus), India (79.1 peratus), Orang Asli dan kumpulan Bumiputera lain (76.5 peratus) dan lain-lain (47.5 peratus).

Beliau turut berkongsi pecahan data di negeri-negeri di mana pengambilan dos penggalak dalam kalangan orang Melayu melebihi 50 peratus termasuk Sarawak (80 peratus), Melaka (64.6 peratus), Labuan (62.3 peratus), Lembah Klang (59.5 peratus), dan Negeri Sembilan (55.7 peratus).

Negeri-negeri yang merekodkan pengambilan dos penggalak terendah secara keseluruhan ialah Sabah (24.8 peratus), diikuti oleh Kelantan (25.3 peratus) dan Perlis (30.9 peratus).

Kerajaan sedang mempertingkatkan kesedaran mengenai keperluan pengambilan suntikan penggalak dalam usaha mengurangkan kesan varian Omicron Covid-19.

Kajian menunjukkan bahawa dos ketiga menawarkan perlindungan yang lebih baik terhadap Omicron. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain