suria

Remaja curi tabung masjid: Hukuman penjara, denda digantikan dengan khidmat masyarakat

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid, minggu lalu. Foto: Sinar Harian

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Isnin mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar, remaja yang didakwa atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan demikian terhadap remaja berusia 19 tahun itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sebaliknya kata beliau, hukuman itu digantikan dengan melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas mandikan ‘jenazah’ remaja curi tabung masjid, imam letak jawatan

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi detik pertemuan dengan remaja curi tabung masjid, beri nasihat padu kepada masyarakat - “Semoga dia betul-betul insaf”

Pendakwaan kes tersebut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala remaja itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Turut hadir peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan kerana cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al-Islahiah, Kuang, Rawang pada minggu lalu.

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Kes remaja tersebut mendapat perhatian ramai selepas video dia dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap, menjadi tular di media sosial. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain