suria

Selangor tarik balik tauliah mengajar agama aktivis politik berkuat kuasa 31 Disember

Jawatankuasa Tauliah Mais akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah.

BERKUAT kuasa 31 Disember ini, tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jawatankuasa Tauliah Mais akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor Dukacita Media Sosial Disalahguna

Bagaimanapun katanya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

"Sultan Selangor menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.

"Bagi menjaga kesucian agama Islam di negeri Selangor, baginda tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam serta mencemarkan agama Islam di negeri ini," katanya.

Tegasnya, mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Selangor) 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen sama.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," tegasnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain