suria

Banjir: 70 lagi kawasan di Hulu Langat alami gangguan bekalan air

Gangguan bekalan air di beberapa lokasi di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

LOJI Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dihenti tugas berikutan peningkatan paras air akibat banjir sehingga memasuki rumah pam air mentah.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, susulan itu, sebanyak 70 lagi kawasan di wilayah Hulu Langat, Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Berdasarkan maklumat terkini, katanya, loji-loji rawatan air lain yang dihenti tugas adalah LRA Cheras Batu 11, di mana operasi masih belum dimulakan berikutan limpahan air ke rumah pam.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: 472 kawasan di Petaling, KL dan Hulu Langat alami gangguan bekalan air

"Bagi LRA Sungai Langat, kadar pengeluaran air telah dikurangkan berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi dan limpahan air ke rumah pam.

"Bagi LRA Langat 2, penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan masih lagi dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Elina berkata, jangkaan untuk semua loji rawatan air tersebut beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan air masih lagi berada pada paras kritikal.

"Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutama melibatkan arus elektrik.

"Sebanyak 63 lori tangki air digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden berkenaan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor serta Facebook dan Instagram," katanya.

Terdahulu, dua loji rawatan air (LRA) iaitu Langat 2 dan Sungai Langat terpaksa dihenti tugas dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

Berikutan henti tugas LRA itu, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain