suria

MH370 jadi ‘trending’ selepas jurutera British dakwa temui lokasi sebenar pesawat terhempas

Serpihan yang didakwa daripada pesawat MH370. Foto: Raja Faizal Hishan/The Star.

KISAH pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tujuh tahun lalu menjadi trending di media sosial selepas seorang jurutera aeronautik Britain mendakwa mengetahui kedudukan bangkai pesawat itu.

Menurut BBC, Richard Godfrey percaya dia telah berjaya mencari lokasi terakhir pesawat itu terhempas.

Beliau mendakwa pesawat itu terhempas di Lautan Hindi, iaitu 2,000km di barat Perth, Australia.

ARTIKEL BERKAITAN: MH370 kekal misteri selepas hilang 6 tahun lalu

Laporan itu menyatakan bahawa Godfrey telah menggabungkan set data yang berbeza daripada domain yang berasingan.

"Tiada siapa yang mempunyai idea sebelum ini untuk menggabungkan data satelit Inmarsat dengan data prestasi Boeing, data oseanografi, dengan data yang dipanggil Weak Signal Propagation Reporter (WSPR).

"Serpihan itu boleh terletak sejauh pada kedalaman 4,000 meter," katanya kepada BBC.

Dalam temu bual berasingan dengan program rancangan sarapan pagi Australia Sunrise, Godfrey juga berkata bahawa dia 'sangat yakin' telah menemui pesawat itu.

Beliau juga mendakwa bahawa pesawat yang terhempas itu adalah 'tindakan keganasan dan rampasan' tetapi terbuka kepada teori lain jika pihak berkuasa berkongsi maklumat lanjut.

Pada 2014, pesawat MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 individu termasuk 227 penumpang dan 12 anak kapal, sebelum ia hilang daripada radar.

Pencarian awal yang diketuai Australia di Lautan Hindi gagal mengesan pesawat yang hilang itu, menyebabkan misi pencariannya ditamatkan pada Januari 2017.

Pencarian diteruskan oleh Ocean Infinity pada 2018, namun tetap gagal menemui petunjuk. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain