suria

Sabbaruddin Chik meninggal dunia... PM sifatkan sebahagian kehidupannya ‘terhutang’ kepada Allahyarham

Allahyarham Sabbaruddin Chik meninggal dunia pada usia 80 tahun.

BEKAS menteri Kabinet, Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia pada usia 80 tahun, Sabtu malam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pukul 8 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di Kuala Lumpur.

Memetik laporan Berita Harian, Pegawai khasnya, Datuk Zamri Mohamad berkata, Sabbaruddin sebelum ini dimasukkan ke PPUM sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar terutama dalam dunia politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara yang merasai kesedihan itu sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya 'terhutang' kepadanya.

"Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik sudah meninggalkan kita semua selama-lamanya.

"Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita. Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini," tulis Ismail Sabri di laman Twitter beliau.

sabbaruddin chik 2

Ismail Sabri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Sabbaruddin.

Ismail Sabri menyifatkan Allahyarham sebagai individu penting di sebalik perjuangannya dalam dunia politik.

"Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik. Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari 1987 sehingga 1996.

"Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

"Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham," katanya.

Tambah Ismail Sabri, Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

"Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini," katanya.

Allahyarham Sabbaruddin merupakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1997.

Sebelum itu, beliau menjadi Timbalan Menteri Kewangan dari 1982 hingga 1987.

Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari tahun 1982 hingga 1999.

Sabbaruddin menyertai Umno pada 1973 dan menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno selama tiga tahun dari 1996, Ketua Umno Bahagian Temerloh pada 1984 dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dari 1984 hingga 1996.

Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Allahyarhamah Puan Sri Faridah Mohamed dan dikurniakan empat cahaya mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain