suria

Cedera dalam mulut, bengkak seluruh badan... kanak-kanak 5 tahun maut dipercayai didera, ibu dan bapa tiri ditahan

Bapa tiri berusia 35 tahun itu ditahan di rumah mereka di Taman Nusa Bestari manakala ibunya ditahan di HSA.

POLIS menahan sepasang suami isteri kerana dipercayai menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut akibat didera di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) kira-kira pukul 12.20 tengah hari, Jumaat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek iaitu ibu dan bapa tirinya serta dua lagi adik-beradik.

“Mangsa mengalami kecederaan di mulut dan bengkak di seluruh badan.

“Pasukan forensik polis turut menemui sebatang paip getah di sinki bilik air, sebatang kayu dan sebatang paip plastik berlumuran darah di atas sofa di rumah suspek,” katanya pada Sabtu.

Tambahnya, mangsa tidak bermaya ketika dibawa masuk ke hospital.

Pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan pada kira-kira 9 pagi Sabtu selepas ujian Covid-19.

Bapa tiri berusia 35 tahun itu ditahan di rumah mereka di Taman Nusa Bestari manakala ibunya ditahan di HSA.

“Kedua-dua suspek yang didapati negatif dadah dan pemeriksaan latar belakang mendapati kedua-dua mereka mempunyai kes di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah..

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” tambahnya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain