suria

Kit ujian kendiri Covid-19 kini boleh didapati serendah RM6.90

Penjualan kit ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit. Foto: Azlina Abdullah/The Star

KIT ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ujarnya, penjualan kit ini akan diperluaskan ke lebih banyak premis dan boleh didapati di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

"Pastinya ini berita baik bagi pengguna memandangkan keadaan semasa dan keperluan untuk ujian kendiri dijalankan," katanya ketika melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di KK Supermart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: MySejahtera dikemaskini... pembelian kit ujian kendiri Covid-19 antara 3 ciri baharu

Nanta berkata walaupun KPDNHEP dimaklumkan harga kit ini ditawarkan pada RM6.90 seunit, terdapat premis seperti KK Supermarket yang menjualnya pada harga lebih rendah iaitu RM6.60 seunit.

Sebelum ini, kit ujian kendiri Covid-19 yang menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dijual di klinik dan premis farmasi yang terpilih.

Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit berkenaan pada harga RM19.90 dan harga borong RM16 seunit, berkuat kuasa 5 September lepas.

Nanta berkata, keputusan kerajaan untuk memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan memberi manfaat seperti penurunan harga, meningkatkan daya saing dalam sektor peruncitan dan ketersediaan bekalan.

Setakat 28 Oktober, sejumlah 2,570 premis perniagaan di seluruh negara telah diberi kelulusan untuk menjual kit itu dengan 494 daripadanya adalah di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, tambah beliau. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain