suria

Anwar tolak faedah setaraf menteri lebih RM30,000 sebulan, mahu derma ke tabung rakyat miskin

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menerima faedah kewangan dan mahu menyumbangkan untuk dana orang miskin.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menolak tawaran berjumlah RM33,500 sebulan seiring langkah kerajaan menaik taraf fungi Ketua Pembangkang termasuk kemudahan setara dengan menteri.

Beliau tidak mahu menerima faedah kewangan berkenaan termasuk gaji bulanan, elaun keraian, bayaran khas, elaun rumah dan pakaian, malahan memutuskan untuk menyumbangkannya kepada golongan memerlukan.

"Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.

"Namun, saya tidak bersetuju dengan butiran-butiran di bawah sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri. Butiran-butiran ini adalah sebahagian dari kemudahan penuh kepada seorang menteri," demikian kenyataannya menerusi akaun Instagramnya pada Sabtu malam.

Butiran-butirannya adalah seperti berikut:

1. RM 14,907.20 sebulan untuk gaji bulanan

2. RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian

3. RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas

3. RM 4,000.00 sebulan untuk elaun rumah

4. RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah

5. RM 6,000.00 untuk elaun pakaian panas (sekali dalam 3 setahun)

6. RM 1500.00 untuk elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam 3 tahun)

7. RM 1500.00 untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam 3 tahun)

8. Sebuah kereta rasmi dan sebuah kenderaan peribadi

Menurut Anwar, beliau sama sekali tidak dapat terima beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri malahan akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

Beliau juga meminta pihak parlimen yang menyediakan pejabatnya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.

"Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

"Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.

Penyerahan surat itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MOU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Parlimen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain