suria

PM umum wujudkan jawatankuasa khas siasat kes kematian Adib, Pulau Batu Puteh

Kata Ismail Sabri, mesyuarat turut bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Ismail Sabri, ia akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Kes kematian Adib masih diteruskan, pelaku diburu

"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain kes kematian itu, Mesyuarat Kabinet pada 8 Oktober turut bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Di samping itu, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

"Ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan," ujar Ismail Sabri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain